Komited memperkukuh keselamatan radiasi, memajukan keupayaan negara





Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohammad Hasif Matzin



 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 Februari. - Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) telah menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) bersama Universiti Teknologi Brunei (UTB) bagi penubuhan Makmal Persampelan dan Analisis Radiasi (Radiation Sampling and Analysis Laboratory - RSAL).


Majlis penandatanganan tersebut berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri.


Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan majlis penandatanganan ialah Timbalan Menteri (Keselamatan dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah SHENA.


Memorandum Kerjasama berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SHENA, Awang Haji Muhsin bin Haji Ahmad, dan Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.


Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah SHENA serta pengurusan kanan SHENA dan UTB.


Dalam ucapannya, Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah menyatakan bahawa sepanjang empat dekad penubuhannya, UTB telah berkembang selaras dengan keperluan dan aspirasi pembangunan negara. Bermula sebagai sebuah institusi pendidikan teknikal, UTB kini berperanan sebagai universiti yang menyumbang secara aktif dalam bidang penyelidikan, inovasi serta pembangunan keupayaan sumber manusia.


Beliau menegaskan bahawa kerjasama ini mencerminkan peranan UTB dalam memperkukuh kedudukannya sebagai rakan strategik kepada agensi-agensi kerajaan, sekali gus memperkayakan budaya saling bekerjasama ke arah kecemerlangan institusi masing-masing.


Melalui MoC ini katanya, penubuhan Makmal Persampelan dan Analisis Radiasi di UTB akan menyokong usaha memperkukuh keupayaan negara dalam pemantauan radiasi, kesiapsiagaan menghadapi kecemasan serta perlindungan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar.


Tambahnya, inisiatif ini juga akan menyumbang kepada penyediaan data dan bukti saintifik yang boleh dipercayai bagi menyokong penggubalan dasar serta pelaksanaan pengawalseliaan.


Beliau turut berharap agar kolaborasi antara UTB dan SHENA dapat menyokong kepentingan nasional secara bersepadu, khususnya dalam pembangunan modal insan tempatan melalui perkongsian kemudahan, latihan teknikal, pemindahan teknologi serta pelaksanaan penyelidikan bersama.


Sementara itu, Awang Haji Muhsin dalam ucapannya pula menjelaskan bahawa kerjasama strategik ini merupakan sebahagian daripada Program Kerjasama Teknikal Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di bawah inisiatif Pengukuhan Kawalan Pengawalseliaan Sinaran dan Kesiapsiagaan Kecemasan.


Antara komponen utama kerjasama ini ialah penyerahan sebuah Spektrometer Gamma High-Purity Germanium (HpGE) yang disumbangkan oleh IAEA, dan akan diserahkan oleh SHENA kepada UTB. UTB pula akan menyediakan infrastruktur makmal serta kepakaran teknikal bagi menyokong pengoperasian peralatan berkenaan.


Menurutnya, penubuhan RSAL akan menyokong tiga teras utama, iaitu penubuhan garis asas kebangsaan dan pemantauan berterusan tahap radiasi persekitaran; memperkukuh penguatkuasaan Akta Perlindungan Radiasi (Penggal 228); serta berfungsi sebagai asas kepada Tindak Balas Kecemasan Kebangsaan Brunei Darussalam bagi analisis radiasi pantas dan penilaian pendedahan semasa insiden radiologi.


Mengakhiri ucapan, Awang Haji Muhsin menegaskan bahawa kerjasama ini menyumbang kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035 dengan memperkukuh keupayaan negara dalam melindungi kesihatan awam dan alam sekitar daripada bahaya radiasi.


Makmal tersebut dijangka mula beroperasi selepas kerja-kerja pengubahsuaian selesai, dengan pentauliahan rasmi dirancang menjelang akhir tahun ini.


MoC ini mencerminkan komitmen bersama SHENA dan UTB dalam memperkukuh keselamatan radiasi, memajukan keupayaan negara serta memastikan Negara Brunei Darussalam kekal sebagai sebuah negara yang selamat untuk bekerja dan didiami.



Close